Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Bersyukur kita kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurniaNya sekali lagi kita ditemukan dalam ruangan ini. Syabas saya ucapkan kepada sidang redaksi yang telah bertungkus lumus untuk menerbitkan ruangan ini.
Jutaan tahniah juga saya ucapkan kepada barisan pimpinan PIBG 2014/2015 kerana sentiasa bersama-sama berganding bahu dalam meningkatkan mutu kecermerlangan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Raja Permaisuri Bainun. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua AJK PIBG yang telah sama-sama berusaha membantu pihak sekolah untuk menjayakan pelbagai program kecemerlangan anak-anak SMK Raja Permaisuri Bainun.
Saya mewakili semua AJK PIBG akan sentiasa menyokong segala program yang dianjurkan oleh pihak sekolah bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar- pelajar. Saya juga berharap laman ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dan bersama-samalah kita menyumbang idea bagi memantapkan lagi aktiviti-aktiviti PIBG sekolah ini. Semoga laman web ini akan dapat mempertautkan silaturahim dan hubungan muhibah dengan semua pihak, terutama demi bersama-sama mempertingkat kemajuan dan kecemerlangan sekolah dalam arus pendidikan perdana di negara ini.
Akhir kata, saya berharap semoga Laman Web PIBG SMK Raja Permaisuri Bainun menjadi rujukan utama kepada semua pihak sama ada ibu bapa, guru-guru dn juga pelajar. Marilah sama-sama kita bersama-sama memastikan kecemerlangan SMK Raja Permaisuri Bainun pada masa depan.
Sekian, terima kasih.
‘PENDIDIKAN CEMERLANG SEKOLAH GEMILANG’
Haji Mat Jaafar bin Haji Mat Zain, PPT
Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun
Kata Aluan YDP PIBG 2014/2015
Assalamualaikum W.B.T, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang mengisi ruang dalam Laman Web PIBG SMK Raja Permaisuri Bainun. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pembangun laman web ini yang telah berjaya mereka bentuk dan membangun laman web ini.
Laman web ini adalah signifikan dalam membantu meningkatkan keberkesanan dan kecekapan PIBG sekolah ini sejajar dengan perkembangan teknologi digital dan pembelajaran abad ke-21. Laman web ini akan membuka peluang ke arah perkara-perkara berikut :
Hebahan informasi terkini kepada ahli PIBG dan pihak luar ;
Penyediaan platform kepada ibu bapa dan guru melihat perkembangan pelajar ;
Akses kepada maklumat berkaitan PIBG dan sekolah pada bila-bila masa ;
Akses kepada aktiviti sekolah ;
Penyaluran idea daripada ibu bapa dan guru ; dan
Penyaluran aduan secara online.
Sebagai peneraju PIBG, saya percaya bahawa kerjasama dan gandingan mantap antara warga sekolah dengan PIBG dapat memperkasakan usaha pengekalan kecemerlangan dan penambahbaikan secara berterusan. Saya yakin inisiatif yang dilakukan menerusi laman web ini akan membuka jalan ke arah kerjasama tersebut. Saya juga yakin laman web ini dapat disenggara dan ditadbir dengan baik. Insya Allah, impaknya akan memberikan banyak faedah kepada kita semua khususnya dalam melahirkan modal insan yang kompeten dan cemerlang berlandaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 - 2025). Sekaligus menjadi pemangkin sinergi kecemerlangan unggul.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan dan pengurusan laman web ini.
Sekian, terima kasih.
Dr. ABDUL HADI BIN MAT DAWI Yang Dipertua PIBG, SMK Raja Permaisuri Bainun.